Senja di Teluk Gadung

22:01

Menyusuri jalan pesisir pantai menuju ke teluk gadung. Aku menurunkan cermin tingkap kereta. Bayu petang berhembus-hembus membelai pipiku. Di sepanjang jalan, kelihatan banyak orang. Ada berkeluarga, ada couple , ada juga sekumpulan remaja. Waktu-waktu begini memang tidak dilepaskan untuk keluar mengambil angin dan menenangkan jiwa yang kusut. Patutlah kenderaan-kenderaan yang menyusuri jalan pantai pada waktu petang, masing-masing memperlahankan kenderaan mereka. Agaknya mereka juga ingin menghayati angin pantai yang membelai sambil menyaksikan ombak-ombak berirama.

Photobucket

Teringat memori sewaktu di universiti. Di kala petang-petang begini, aku dan kawan-kawan yang lain akan menghabiskan masa lapang di warung “mama” sambil disajikan ombak-ombak yang setia membelai bibir pantai. Kemudian kami ke tepian pantai duduk di atas tunggul-tunggul kayu, aku tidak pernah puas menyimpan koleksi gambar-gambar sebagai kenang-kenangan.kami bersembang dan diakhiri dengan gelak ketawa. Memang indah kalau di ingatkan waktu itu. Teringat aku Nina iaitu teman yang agak akrab denganku. Waktu-waktu petang begitu, kami berdua mengayuh basikal di sepanjang pesisir pantai. Lalu kami berhenti di sebuah warung. Sotong celup tepung dan ais jagung menjadi pilihan kami.

Sesungguhnya aku rindukan saat-saat itu. Teluk gadung dan sepanjang pantai dungun banyak menyimpan kenangan yang tidak mungkin aku lupakan. Disitu aku mengenal erti hidup, persahabatan dan juga perpisahan. Sepanjang 6 semester di UiTM Terengganu, teluk gadung lah tempat aku berbicara. Tasik Gadung yang indah itu aku rakamkan saban masa. Ada kala indahnya bagai landskap. Ada kala tasik itu kekeringan. Air tasik ini berubah mengikut musim-musim tertentu.

Photobucket

Tasik gadung berlatarbelakangkan bukit mayat. Tasik ini juga dikenali sebagai teluk mayat. Ini mungkin kerana pada zaman dahulu, sewaktu Jepun menakluk tanah melayu, askar-askar jepun itu menghukum mereka yang dirasa bersalah di situ dan mencampak mayat-mayat mereka ke tasik ini. Namun aku tidak pasti kebenaran cerita itu. Walaubagaimanapun, dari segi sejarah, sememangnya daerah Dungun pernah diduduki tentera jepun kerana tercatat dalam sejarah sewaktu zaman bijih besi yang kini terbentuk tasik puteri akibat perlombongan bijih besi. Tasik itu kini menjadi pusat rekreasi seperti tempat berkayak dan sebagainya. Struktur batu bekas peninggalan jeti lama di pantai dungun masih lagi kukuh di tepi pantai di sura gate. Aku juga selalu duduk bersembang diatas struktur batu itu selepas penat berjogging. Bersembang-sembang sambil menyaksikan matahari mengangkat wajah dan nelayan yang turun ke laut.

Hari ini, aku sekali lagi melewati keindahan tasik gadung. Namun nasib aku kurang baik, air tasik kekeringan. Namun masih indah landskap itu. Tatkala menghayati keindahan panorama, 1001 memori suka dan duka menerpa. Ada rasa ingin menangis, ada juga rasa ingin ketawa. Tersenyum aku sendiri. Di depan ku tasik hijau, dibelakangku ombak menghempas ke pantai. Di hujung sana tersergam indah bukit mayat. Bukit itu juga menjadi landskap semulajadi UiTM kampus Terengganu. Menerusi bukit itu dapat terus ke puncak bukit bauk yang kini sudah diwartakan sebagai hutan simpan atau nama lainnya “Rimba Bandar Bukit Bauk”.

Tasik yang mengerti perasaanku. Menjadi tempat aku meluahkan isi hati. Menjadi teman setiaku saban petang. Aku sering menghabiskan senjaku disini. Merakam gambar panorama senja di gadung. Merakam gambar awan di waktu senja. Aku rindukan lukisan alam itu. Meneliti seorang diri. Mencari diri dalam kehijauan tasik. Aku benar-benar rindukan semuanya. Kadang-kadang aku mendaki tangga ke atas bukit seorang diri menyaksikan panorama dari atas bukit. Sungguh indah lukisan dihadapanku. Kalau bisa aku lukis. Akan aku calitkan di atas kanvas lalu aku bingkaikan di dinding kamarku. Yang dapat aku lakukan hanyalah merakam gambar dan menyimpannya dalam laptop.

Sepetang di tasik ini benar-benar mengembalikan kenangan lalu. Teringat kata-kata yang aku ukirkan di atas pasir pantai lalu disapu ombak. Kata-kata itu hilang dibawa ke lautan luas. Benarkah aku sudah lupa pada segala memori dulu. Memori yang mendewasakan zaman remajaku. Benarkanlah wahai masa. Izinkan aku bermimpi walau hanya sebentar.

Photobucket

You Might Also Like

0 comments